Bersalaman atau berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan seperti
perkara biasa sahaja, lebih-lebih lagi di kalangan keluarga, tidak kira
dekat ataupun jauh. Sebenarnya tidaklah begitu. Agama telah mengaturkan
bukan semua keluarga dibolehkan dijabati tangan, ada yang boleh, ada
pula yang tidak boleh. Perkara inilah yang hendak dihuraikan dalam
ruangan ini.
Dalam ahli keluarga itu, ada yang dikategorikan sebagai mahram dan ada
juga yang dikategorikan sebagai bukan mahram.
Namun untuk memudah cara mengetahui siapa yang bukan mahram, memadai
dengan mengetahui siapa yang dikatakan perempuan mahram itu.
Perempuan mahram itu ialah perempuan yang haram dinikahi atau dijadikan
isteri. Hakikat mahram yang sebenarnya ialah perempuan yang dihalalkan
untuk dilihat, diajak berdua-duaan atau
berpergian dengannya.
Perempuan mahram terbahagi kepada tiga bahagian dengan sebabsebab yang tertentu:
Pertama: Mahram kerana keturunan.
Kedua: Mahram kerana saudara sesusuan.
Ketiga: Mahram kerana perkahwinan.
Perempuan mahram kerana keturunan adalah seperti berikut:
1. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas.
2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya
ke bawah.
3. Adik beradik perempuan seibu sebapa.
4. Adik beradik perempuan sebapa.
5. Adik beradik perempuan seibu.
6. Emak saudara sebelah bapa (adik‐beradik bapa) dan seterusnya ke atas.
7. Emak saudara sebelah ibu (adik‐beradik ibu) dan seterusnya ke atas.
8. Anak perempuan dari adik‐beradik lelaki mahupun dari adik‐beradik perempuan (anak kemanakan).
Mahram kerana saudara sesusuan sama pembahagiannya dengan mahram kerana
keturunan, sebagai mana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya:
“Dilarang untuk dinikahi saudara (adik-beradik) perempuan sesusuan
sebagaimana dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan.”
(Hadis riwayat Muslim)
Nash yang menyebutkan tentang kedua-dua bahagian mahram ini pula ada
tersebut di dalam Al-Qur’an melalui firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala
dalam surah an-Nisa ayat 23.
Sementara itu perempuan yang termasuk di dalam kategori mahram kerana perkahwinan adalah seperti berikut:
1. Emak mertua.
2. Anak menantu.
3. Emak tiri.
4. Anak tiri.
Oleh itu, perempuan-perempuan dari ahli keluarga isteri selain empat
orang yang disebutkan di atas kekal sebagai perempuan ajnabiyyah.
Perempuan ajnabiyyah itu ialah perempuan yang boleh dinikahi, tidak
halal untuk dilihat, haram diajak berdua-duaan dan berpergian dengannya
dan ia adalah perkataan lawan bagi perkataan perempuan mahram.
Contoh Ahli Keluarga Yang Bukan Mahram
Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana
perkahwinan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah
ialah:
1. Isteri kepada adik‐beradik bapa. (emak saudara sebelah bapa)
2. Isteri kepada adik‐beradik emak. (emak saudara sebelah emak)
3. Adik‐beradik bapa mertua perempuan.
4. Adik‐beradik emak mertua perempuan.
5. Anak kemanakan isteri perempuan. (anak adik‐beradik isteri)
6. Kakak ipar.
7. Adik ipar perempuan.
Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana
keturunan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah
ialah:
1. Sepupu perempuan. (anak adik beradik bapa atau emak)
2. Sepupu bapa.
3. Sepupu emak.
Oleh kerana mereka ini tidak tersenarai dalam kategori mahram yang
disebutkan sebelum ini, maka batasan hukum bersentuhan dengan mereka ini
adalah sama dengan perempuan ajnabiyyah.
No comments:
Post a Comment